Thursday, May 22, 2008

BARISAN RAKYAT-POLITIK KEBENCIAN DAN CHAUVANIST

Ezam: Sebagai seorang yang pernah mempelopori idea “politik baru”, dan sekarang berada di luar wadah yang diperjuangkan dahulu, agak menarik untuk melihat bagaimana Ezam melihat perkembangan politik semasa. Apakah jawapan beliau kepada persoalan samada PRU 12 merupakan manifestasi politik baru sepertimana yang digagaskan hampir sepuluh tahun yang lalu?

Jawapan Ezam ialah tidak. Beliau menghujjahkan bahawa sejak kebelakangan ini, politik Malaysia menjadi semakin bersifat perkauman. Perdebatan mengenai hak kebebasan beragama, isu tuntutan HINDRAF, perungkaian kontrak sosial, penolakan terhadap Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan isu negara Islam - walaupun diolah menggunakan bahasa demokrasi - masih merupakan isu-isu kaum. Pola mengundi juga menunjukkan kewujudan dikotomi Melayu-Bukan Melayu. Sementara berlaku peralihan drastik undi bukan Melayu kepada parti-parti pembangkang, perkara yang sama tidak berlaku kepada undi Melayu. Majoriti undi Melayu masih bersama BN. Justeru, bagi Ezam, politik baru rentas kaum sepertimana yang digagaskan pada tahun 1999 tidak berlaku dalam pilihanraya kali ini. Malah, tegas Ezam, pilihanraya kali ini merupakan antara pilihanraya yang paling bersifat perkauman dalam sejarah pilihanraya Malaysia.

Saya fikir, penegasan Ezam dalam hal ini wajar diteliti. Kemunculan politik rentas kaum dianggap oleh ramai orang sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan lagi. Teringat saya kepada TINA dalam wacana globalisasi. There is no alternative. Mahu tidak mahu dunia ini harus melalui proses globalisasi yang ditandai oleh pasaran bebas dan sistem politik demokrasi liberal. Itulah satu bentuk ortodoksi yang diseru oleh kelompok neo-liberal di dunia ini. Walaupun tesis korelasi antara pasaran bebas, demokrasi liberal dan kemakmuran ekonomi disanggah di serata dunia - dengan fakta kuantitatif dan kualitatif - para pendokong faham neo-liberal, dan teman-teman neo-cons mereka di Bretton Woods Institutions dan Rumah Putih, galak mengajar kepada dunia bahawa pasaran bebas dan negara dengan kuasa minimal merupakan satu-satunya resipi kemakmuran. Mereka ini digelar sebagai “Bad Samaritans” oleh Ha-Joon Chang, seorang warga Korea dan ahli ekonomi pembangunan di Universiti Cambridge dalam bukunya Bad Samaritans: Rich Nations, Poor Policies and the Threat to the Developing World (2007).

Siapa “Bad Samaritans” kita? Apakah politik rentas kaum - yang membawa bersamanya idea-idea persaingan bebas, kesaksamaan hak tanpa mengira kaum, kebebasan beragama (atau kebebasan daripada agama) dan lain-lain seumpamanya - merupakan rentetan daripada ortodoksi neo-liberal yang disebut oleh Ha-Joon Chang itu? Apakah idea-idea ini akan menjadi satu ortodoksi baru di Malaysia? Kita lihat sajalah...